Oleh: Barjoyai

Pasti ramai yang suka nak tau cara paling mudah nak simpan banyak duit, tanpa perlukan masa yang lama. Dan untuk capai matlamat ni, korang wajib gunakan ‘alat bantuan’ supaya duit simpanan tu boleh berkembang cepat.

Takpe, tak payah dah korang cari jauh-jauh. Ini ada satu ilmu berharga yang Cikpuan Syafieqah A’lya kongsikan dekat dinding Facebook beliau.

Hadamkan sebagai sarapan minda korang pada pagi Jumaat ini. Labur dulu, baru simpan. Atau simpan dulu, baru labur? Sebelum ni, saya pernah kongsikan tentang tangga kewangan. Di mana, itu adalah step (langkah) permulaan korang dari :

Sumber pendapatan,
Simpanan,
Perlindungan,
Pelaburan,
Zakat,
Wasiat/Hibah.
Cuma, berapa ramai orang kisah tentang cara ini?

Ramai orang bila mula kerja, mereka terus nak melabur, tanpa pedulikan simpanan mereka yang kering-kontang. Jangan terlalu selesa sebab boleh bergantung dengan duit mak ayah lagi, atau boleh pinjam kawan-kawan korang yang sporting tu.

Lagi bagus korang dah bina simpanan kecemasan sendiri, tanpa perlu bergantung harap kat orang lain. Dengan RM1,000 sebulan, anda pasti terkejut berapa banyak duit tu boleh ‘beranak’

Jom saya kongsikan cara untuk korang pelbagaikan simpanan dan pelaburan, yang boleh dibuat dengan hanya RM1,000 sebulan :

#1 : Anda belum ada simpanan kecemasan lagi?

Untuk yang ini, korang boleh gunakan ASB buku biru. Modal yang korang perlukan setiap bulan adalah RM225.

Tempoh simpanan : 5 tahu (atau 60 bulan)
Purata dividen tahunan : 6.75%
Ini hasil yang bakal korang dapat lepas tempoh 5 tahun :

Jumlah simpanan : RM13,500
Dividen terkumpul : RM2,508
Total jumlah yang terkumpul akan jadi RM16,008.

#2 : Dah simpan duit untuk tunaikan ibadah Haji?

Yang ni pulak, korang buat simpanan untuk menunaikan ibadah Haji pada masa depan. Baik lagi buat awal-awal, tak gitu?

Modal yang korang perlukan setiap bulan, sebanyak RM150 je.

Tempoh simpanan : 5 tahun (60 bulan)
Purata dividen tahunan : 4.25%
Berapa hasil yang korang dapat lepas 5 tahun?

Jumlah simpanan : RM9,000
Dividen terkumpul : RM1,022
Jumlah keseluruhan yang bakal korang dapat adalah RM10,022.

#3 : Strategi simpan down payment rumah dalam masa 5 tahun

Korang mesti ada plan nak beli rumah pada masa depan, kan? Jadi, elok la kita simpan awal-awal.

Bukan nak beli tahun depan, tahun ni baru nak mula simpan.

Strategi ni, agak panjang sikit berbanding dengan yang sebelum ni. Hadamkan perlahan-lahan. Korang pasti faham punya.

Strategi yang ni, korang perlu gunakan ASB Financing, dengan modal bulanan sebanyak RM275. Buat pembiayaan ASB sebanyak RM50,000.

Tempoh pinjaman : 30 tahun
Keuntungan bank : 5.2%
Purata dividen tahunan : 6.75%
Takaful : Tiada
Teknik yang korang akan gunakan adalah compounding. Bermakna, korang tak usik langsung dividen yang beranak dalam akaun tu.

Lepas 5 tahun, batalkan (atau jual) sijil pertama tadi tu :

Baki prinsipal : RM3,958
Dividen terkumpul : RM14,929
Bermakna, korang akan dapat jumlah keseluruhan sebanyak RM18,887.

Hanya perlu kekal bayar RM275 sebulan?

Masuk je tahun ke-2, buat lagi satu ASB Financing RM50,000, dengan mengekalkan bayaran bulanan yang sama.

Bermakna, korang dah ada ASB Financing bernilai RM100,000 (RM50,000 + RM50,000), dengan mengekalkan komitmen bulanan sebanyak RM275.

Kenapa bayaran bulanan kekal RM275? Sebab korang gunakan dividen ASB Financing Sijil Pertama tadi untuk bayar ansuran bulanan Sijil Ke-2.

Kiraan dia akan jadi macam ni :

Tempoh pinjaman Sijil Ke-2 : 30 tahun
Keuntungan bank : 5.2%
Purata dividen tahunan : 6.75%
Takaful : Tiada
Teknik yang korang akan gunakan adalah rolling. Gunakan dividen Sijil 1 tadi sebagai bayaran lump sum setahun Sijil Ke-2 ini (macam yang dijelaskan kat atas tadi).

Ini hasil yang bakal korang dapat lepas tamat tempoh 4 tahun (sebab korang buat ASB Financing Sijil Ke-2 ni pada tahun seterusnya, lepas buat ASBF Sijil Pertama).

Baki prinsipal : RM3,082
Dividen terakhir : RM3,375
Jumlah keseluruhan untuk Sijil Ke-2 : RM6,457
Dan bila korang tambah jumlah 2 sijil tadi, maka akan jadi RM25,344 (RM18,887 + RM6,457).

#4 : Simpan RM10,000+ untuk duit kahwin?

Gunakan ASB 2 (buku warna purple). Modal korang setiap bulan adalah sebanyak RM150.

Tempoh simpanan : 5 tahun (60 bulan)
Purata dividen tahunan : 6.5%
Berapa hasil yang korang bakal dapat lepas 5 tahun?

Jumlah simpanan : RM9,000
Dividen terkumpul : RM1,605
Jumlah keseluruhan yang bakal korang dapat dengan cara ni, adalah sebanyak RM10,606.

#5 : Susah sangat nak kumpul duit? ‘Paksa diri’ guna cara ini

Satu lagi cara, adalah dengan gunakan Unit Trust sebagai alat pelaburan. Korang hanya perlukan modal bulanan sebanyak RM200 (paling minimum).

Tempoh pelaburan : 5 tahun (60 bulan)
Purata pulangan tahunan : 10%
Cara ni akan kembangkan duit simpanan korang tu jadi RM15,434 selepas tempoh 5 tahun!

Kalau simpan RM200 secara biasa, korang hanya dapat RM12,000 je tau. Dapat la lebih RM3,434. Siapa nak bagi?

Berapa banyak anda dapat bila gabung semua ini?

Ini hasil yang bakal korang dapat daripada semua simpanan dan pelaburan, bila ikut cara yang saya kongsikan tadi :

ASB (Buku Biru) : RM16,008
Tabung Haji : RM10,022
ASB Financing Sijil Pertama : RM25,344
ASB Financing Sijil Ke-2 : RM10,606
Unit Trust : RM15,434
Jumlah keseluruhan yang terkumpul adalah sebanyak RM77,414.

Korang ada cara yang lebih baik? Kalau ada, silakan buat terus dan jangan bertangguh lagi.

Saya hanya berkongsi idea yang mungkin boleh dibuat bagi mengurangkan risiko dan tingkatkan simpanan korang.

Pasangan korang lebih teruja bila dapat tau, yang kita ada perancangan kewangan yang rapi macam ni. Ibarat kira susun strategi nak pikat hati bakal pak dan mak mertua si Dia.

Eh! Siap terlebih bagi hint lagi.

Nak simpan duit, memang satu cabaran yang tak semua orang boleh tempuh dengan mudah. Ada je perkara yang sedut keluar duit yang nak disimpan tu.

Tapi dengan strategi macam ni, nak tak nak, korang akan ‘dipaksa’ untuk simpan duit. Tak kira apa pun terjadi.

Kalau tak mulakan sekarang, bila lagi? Boleh ke korang jawab soalan ni?

Sumber: Gilahartanah