Oleh: Barjoyai

Sultan Ibrahim menolak reka bentuk jambatan melengkung dan tinggi di bahagian tengah, sebaliknya baginda mencadangkan reka bentuk jambatan yang lurus, lebih dekat dan sama tinggi atau lebih tinggi sedikit daripada Tambak Johor.

PETALING JAYA: Sultan Johor menolak cadangan reka bentuk jambatan untuk projek kereta api Sistem Transit Rapid (RTS) yang menghubungkan Woodlands di Singapura ke Bukit Chagar, Johor Bahru.
Berita Harian melaporkan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mahu kedua-dua kerajaan mengkaji semula sebelum berunding dengan baginda reka bentuk melengkung trek rel itu dan ketinggian jambatan yang mencecah 30m di bahagian tengah.
“Pembinaan jambatan dengan ketinggian itu akan menjejaskan pemandangan bandar raya di sepanjang Selat Johor, selain tidak praktikal, tidak mapan dan kosnya mungkin tinggi,” kata baginda sambil menambah idea yang dikemukakan nanti perlu munasabah, berskala ekonomi dan mapan.
Susulan itu, baginda mencadangkan reka bentuk jambatan yang lurus, lebih dekat dan sama tinggi atau lebih tinggi sedikit daripada Tambak Johor.
“Jika saya tidak suka, rakyat Johor juga tidak suka. Jika anda lakukan juga, saya tidak merestuinya.”
Sultan Ibrahim turut mempersoalkan tindakan kedua-dua negara menggunakan khidmat kontraktor berasingan untuk membina bahagian jambatan di Singapura dan Malaysia.
Baginda akan mengemukakan cadangannya kepada Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong pada pertemuan bulan depan.
Pembinaan RTS dicadangkan pada Mei 2010 sebagai alternatif kepada 80,000 hingga 100,000 pengguna Tambak Johor setiap hari.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dilaporkan berkata, kedua-dua negara akan memeterai perjanjian 2 hala mengenai RTS, Disember ini.
Malaysia memilih Prasarana Malaysia Bhd, manakala Singapura memilih SMRT Corp yang sedang berunding projek membabitkan konsesi 30 tahun itu.
“Mengapa mesti Prasarana? Mengapa tidak kerajaan negeri Johor? Kena ingat tanah adalah urusan Johor, bukan kerajaan persekutuan.
“Kalau kamu bukan orang sini, kamu tidak akan faham sentimen Johor,” kata Sultan Ibrahim.

Sumber: Free Malaysia Today