Oleh: Barjoyai

KUALA LUMPUR: Jumlah petugas media yang akan membuat liputan temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) kali ini menyaksikan hampir tiga kali ganda lebih besar berbanding temasya lalu di Singapura.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata seramai 2,933 media yang terdiri wartawan, jurugambar, wartawan televisyen, jurukamera serta krew hos penyiar dari rantau ini termasuklah media antarabangsa seperti AFP (Agence France-Presse), Reuters, AP (Associated Press), European Pressphoto Agency (EPA), Getty Images, American Eyes Press dan Al Jazeera.

“Jawatankuasa Pengelola Malaysia (MASOC) telah membuat perancangan teliti untuk memastikan kemudahan dan tempat yang ditawarkan adalah mencukupi dan selesa.

“Kedua-dua ini bakal menjadi pusat nadi berita KL2017 dan saya percaya ia adalah yang terbesar pernah disediakan untuk para media di temasya sukan ini,” katanya ketika majlis pelancaran Pusat Media Utama (MPC) dan Pusat Penyiaran Antarabangsa (IPC) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini.

Khairy berkata sebanyak 744 stesen kerja telah disediakan di kawasan MPC dan IPC yang berukuran seluas lebih 35,000 kaki persegi dengan kedua-dua pusat itu akan dibuka 24 jam.

Katanya kemudahan bagi media bukanlah hanya disediakan di MITEC, tetapi ia akan disediakan di setiap venue dengan skala yang lebih kecil.

“Kami juga menubuhkan satu bilik berita kami sendiri yang dianggotai oleh lebih kurang 60 orang terdiri daripada wartawan dan jurugambar rasmi yang akan memuatnaik maklumat dan berita rasmi ke aset digital KL2017,” katanya.

Khairy turut mengingatkan media Malaysia agar lebih bertanggungjawab dan membuat penilaian yang sewajarnya ketika menerbitkan berita masing-masing kerana mereka juga bakal mencerminkan nama Malaysia sebagai penganjur.

“Pastikan anda mendapatkan maklumat yang tepat dan rasmi. Jangan menyulitkan lagi apa-apa masalah yang timbul dengan berita yang boleh mengeruhkan keadaan atau mengelirukan orang ramai,” katanya.

Sumber: Berita Harian