Sebuah artikel tentang akan bahayanya marathon terhadap buah pinggang telah menjadi tular di media sosial baru-baru ini. Ia memetik kesimpulan dari sebuah laporan yang diterbitkan oleh American Journal of Kidney Disease di New Haven, Amerika Syarikat.

Namun, sebelum anda menggantungkan kasut lari anda, jom kita baca perkongsian dari seorang doktor, iaitu Dr. Rafidah Abdullah yang juga seorang pakar buah pinggang, dan pelari marathon mengenai perkara ini.

Ramai orang nampak kelam-kabut bila membaca rencana akhbar tempohari mengenai marathon membahayakan buah pinggang. Mungkin sebab saya seorang pelari marathon juga seorang Pakar Buah Pinggang, sangat ramai yang ajukan soalan dan kerisauan mereka.

Perlu diterangkan istilah marathon adalah acara 42km; bukan 5, 10, 21km. Sesiapa yang pernah berlari 42km akan tahu akan ianya memerlukan tahap fizikal dan mental yang tinggi. Tentunya ia akan menjadi beban kepada badan kita.

Apakah “acute kidney injury?” Ia adalah kegagalan buah pinggang akut (tiba-tiba). Klasifikasinya mengikut AKIN ada 3 tahap: AKIN 1, 2 dan 3 (3 yang paling teruk). AKIN tahap 1 adalah peningkatan bacaan darah creatinine 1.5 ke 2 kali ganda daripada “baseline”. AKIN tahap 2 adalah 2 ke 3 kali ganda peningkatan. Jika gejala akut, kebiasaannya ia pulih semula jika penyebabnya dikenal pasti dan dirawati.

Mari kita lihat kajian ini secara terperinci. Sampel diambil daripada 22 orang. Sebelum, sehari selepas & dua hari selepas marathon. 82% (18 orang) menunjukkan AKIN tahap 1 & 2. Ianya tiada simptom atau gejala. Anda tidak merasa apa-apa pun.

 

Tidak ketahui: Sama ada mereka minum sebanyak mana, latihan persiapan bagaimana. Yang tahu, kesemuanya pulih seperti sedia kala.

Memang betul dan telah dibuktikan yang kerosakan buah pinggang akut (Acute Kidney Injury) ada risiko untuk menjadi masalah kronik dimasa akan datang.

Tidak diketahui lagi apakah ada masalah jangka masa panjang dalam konteks ini. Kajian 22 orang sangat kecil, TIDAK boleh dibuat kesimpulan dan generalisasikan untuk semua orang. Perlu kajian/observation lebih terperinci dan lama.

Nasihat professional saya, merangkap seorang Pakar Buah Pinggang juga pelari marathon, inilah antara cara-cara penjagaan:

1. Respect the distance
Training / latihan & persiapan sangat penting. Jangan lah dok eksyen tiada training pun anda boleh habiskan marathon. Ini membahayakan kesihatan anda. Dengan latihan, badan & otot anda akan lebih biasa & peka dengan larian sejauh itu. Risiko “rhabdomyolysis” kurang, salah satu penyebab kegagalan buah pinggang akut (rosak secara tiba-tiba) selepas aktiviti fizikal yang berat.

2. Kekalkan hidrasi
Minum secukupnya sebelum, semasa & selepas maraton

3. Elakkan makan ubat tahan sakit
Elakkan penggunaan ubatan jenis Non-Steroidal Anti-Inflammatory Drugs (seperti Ponstan, Voltaren dan yang sewaktu dengannya) selepas larian tersebut.

Perlukah marathon sejauh 42km untuk kekal sihat? Jawapannya tidak perlu. Cukup dengan 150 minit senaman seminggu dan pemakanan seimbang. Artikel ini bukan alasan anda tidak bersenam langsung. Mereput, tak buat apa-apa lagi bahaya.

Selamat berhujung minggu dan maju jaya untuk apa saja larian anda.

Mohon doakan maraton ke-18 saya di London 23 April nanti🙏
Rafidah Abdullah
Pakar Buah Pinggang & Pelari Maraton

Sumber: Jomkitalari