Okay. Katakan, korang ada sebuah lot tanah pertanian yang dikongsi bersama adik-beradik.

Hari pun berlalu macam biasa, dan tiba-tiba, si abang berhasrat untuk pecah tanah kepada bahagian masing-masing.

Nak jadikan cerita, si adik pulak tentang hasrat si abang. Maka, berlaku la drama ala sinetron.

Boleh ke nak settle-kan masalah ni?

Mungkin ramai yang kat luar sana belum tahu perkara ini. Jemput hadamkan perkongsian Tuan Salkukhairi Abd Sukor, Presiden Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam).

Ini apa yang anda boleh buat

Antara masalah yang biasa timbul apabila seseorang pemilik bersama tanah pertanian geran kongsi ingin membuat pecah bahagian tanah tersebut, adalah tiadanya persetujuan daripada kesemua pemilik bersama yang lain.

Sekiranya ini berlaku, apakah yang patut dilakukan?

1. Sebenarnya S.141A Kanun Tanah Negara membenarkan mana-mana pemilik bersama sesuatu tanah pertanian geran kongsi memohon untuk kelulusan pecah bahagian.

Ini walaupun pemilik-pemilik bersama yang lain tidak bersetuju untuk buat pecah bahagian, atau terdapat pemilik bersama yang tidak dapat dikesan atau sebagainya.

2. Sebaik sahaja menerima permohonan pecah bahagian tadi, pentadbir tanah akan menghantar notis kepada kesemua pemilik bersama yang lain ke alamat terakhir yang diketahui.

Ini untuk memaklumkan tentang cadangan pecah bahagian oleh salah seorang pemilik bersama tersebut.

3. Pemilik bersama yang lain dikehendaki mengemukakan apa-apa bantahan secara bertulis dalam tempoh 28 hari daripada tarikh penyampaian notis tersebut, sekiranya tidak bersetuju dengan permohonan pecah bahagian salah seorang pemilik bersama tadi.

Kalau takde bantahan, senang kerja. Tapi kalau ada?

4. Setelah habis tempoh 28 hari tersebut, sekiranya terdapat bantahan daripada pemilik-pemilik bersama yang lain, Pentadbir Tanah boleh membuat keputusan untuk menolak permohonan pecah bahagian tersebut, sekiranya beliau berpuas hati dengan alasan-alsan bantahan yang dikemukakan.

5. Tetapi sekiranya tiada bantahan, Pentadbir Tanah boleh meluluskan permohonan pecah bahagian tersebut.

6. Sekiranya permohonan tersebut diluluskan, segala kos untuk urusan pecah bahagian hendaklah ditanggung oleh pemohon itu sendiri.

7. Sekiranya pemohon tersebut tidak berpuas hati dengan keputusan yang dibuat oleh Pentadbir Tanah, mereka boleh memfailkan permohonan di Mahkamah untuk mengarahkan permohonan pecah bahagian tersebut diluluskan.

Jadi, boleh ke pecah tanah tanpa persetujuan yang lain? 

8. Mahkamah juga boleh mengarahkan bahagaian yang tidak dipecah bahagi tersebut di pindah milik kepada pemilik bersama, atau mengarahkannya dijual.

9. Apa-apa keputusan yang dibuat oleh Mahkamah akan mengikat Pentadbir Tanah untuk melaksanakannya di bawah Seksyen 417 Kanun Tanah Negara.

Jadi kesimpulannya, jangan risau sekiranya pemilik bersama yang lain tidak bersetuju untuk buat pecah bahagian, kerana anda masih boleh melakukannya walaupun tanpa persetujuan mereka.

Sekian, terima kasih,

Benda ni, boleh je kasi settle dengan cara baik dan berhemah.

Bila dah tau cara nak buat ni, Tok yakin. ‘Kacang’ je korang selesaikan masalah pecah tanah tanpa perlu bergaduh sesama pemilik bersama.

Nah, sekarang korang dah tau. Tolong Tok kongsikan ilmu ni kepada yang lain pulak ya. Tak best kalau pandai seorang je, kan?

Sumber: Gila Hartanah