SEPANG: Penulis kelahiran Turki, Mustafa Akyol terkejut dengan gangguan yang dialaminya di tangan pihak berkuasa agama Malaysia, selepas Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) memaksa sebuah universiti swasta membatalkan sebuah forum yang bakal dihadirinya semalam.
“Saya tidak pernah mengaku mufti atau imam dengan autoriti agama,” kata Akyol kepada FMT, setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk menaiki penerbangan ke Rome, beberapa jam selepas Jawi memaksa sebuah forum bertemakan buku terbaharunya mengenai Nabi Isa dibatalkan.
“Saya hanya merujuk pandangan lebih liberal dalam tradisi Islam, daripada perspektif akademik, dan saya hairan mengapa itu pun boleh menimbulkan rasa tidak selamat,” katanya.
Wartawan terkemuka yang merupakan kolumnis New York Times itu dijemput Islamic Renaissance Front (IRF) untuk siri ceramah, lawatan ke-5 Akyol ke Malaysia.
Akyol sepatutnya bercakap di kampus Universiti Nottingham Malaysia di pusat bandar raya petang semalam, berkisar sekitar tema buku terbaharunya, “The Islamic Jesus: How the King of the Jews Became a Prophet of the Muslims”.
Pihak universiti terpaksa membatalkan forum tersebut selepas ditekan Jawi, yang sebelum itu mengeluarkan perintah arahan kepada Akyol dan Pengarah IRF Datuk Dr Ahmad Farouk Musa untuk hadir ke pejabat Jawi bagi tujuan soal siasat. Difahamkan sesi soal siasat Akyol tidak dapat diadakan susulan pembatalan forum itu, manakala Dr Farouk dipanggil hadir ke pejabat Jawi esok.
Menurut Jawi, Akyol mengajar agama tanpa tauliah, iaitu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan).
Akyol, 45, kerap mengkritik pendukung Islamis dan sekularis di negara asalnya Turki, dan juga menyokong kebebasan bersuara di negara Islam di samping mengkritik tindakan kerajaan Islam menggunakan undang-undang tidak demokratik atas nama agama.
Malam semalam, Dr Farouk memberitahu FMT beliau percaya Akyol yang juga pengkritik kuat Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan ditahan oleh pihak imigresen Malaysia di KLIA.
Ia selepas usaha menghubungi beliau gagal, manakala Akyol juga tidak membalas panggilan isterinya, Riada Asimovic Akyol, seperti dijanjikan ketika memasuki balai pelepasan.
‘Ya, saya Muslim liberal’
Bercakap kepada FMT sebelum itu, Akyol berkata kejadian semalam mengesahkan ketakutannya.
“Saya percaya masyarakat Islam memerlukan lebih banyak kebebasan bersuara dan beragama, dan insiden ini hanya mengesahkan keyakinan itu,” katanya.
Semalam, Akyol dalam beberapa forum berasingan mengenai demokrasi mengkritik kerajaan yang menggunakan undang-undang drakonian untuk kekal berkuasa. Beliau turut mempertikaikan penyokong undang-undang Islam yang mahu mengawal cara hidup persendirian orang awam, dan berkata ia bukan sebahagian daripada syariah yang menurutnya hanya tertumpu kepada jenayah awam dan bukannya dosa peribadi.
“Saya percaya sebagai orang Islam, dosa tidak seharusnya menjadi masalah negara. Anda boleh dan patut menasihati orang Islam yang melakukan dosa tetapi anda tidak boleh menghukum mereka,” katanya pada forum yang dianjurkan IRF semalam.
Akyol bersetuju dengan mereka yang melabelnya sebagai “liberal”, dan mengatakan pandangannya berdasarkan kepada Al-Quran yang menegaskan “tiada paksaan dalam agama”.
“Ya, sudah tentu. Saya seorang Muslim liberal,” katanya kepada FMT. “Saya fikir Islam tidak harus dipaksa dan umat Islam boleh berkongsi pandangan mereka dengan bebas.
“Liberal tidak bermakna ‘sekular’ atau ‘tidak mempercayai’, ia hanya bermakna mempercayai ‘tidak ada paksaan’,” katanya.
Akyol berkata biarpun lawatannya kali ini berdepan gangguan, beliau masih menyukai Malaysia, dan berharap dapat kembali lagi.
“Saya datang ke sini sebanyak 5 kali sebelum ini dan saya sentiasa rasa sayang dan mengagumi Malaysia.
“Cuma saya harap pihak berkuasa Malaysia lebih bersifat terbuka apabila melibatkan pandangan berbeza di kalangan umat Islam.”

Sumber: FMT